Hukum Qalbi Yang Ketiga Adalah “Takyin”

 

Pengertian Di Sebalik Waktu

Manakah masa dan manakah waktu solat?

Soalan:

Apakah maksud, erti atau makna takyin?

Jawapan:

Maksud, erti atau makna takyin itu adalah menentukan waktu. Persoalannya di sini, manakah yang dikatakan sebenar-benar waktu solat? Manakah yang dikatakan sebenar-benar waktu? Waktu solat itu bukan letaknya pada jam dinding, bukan bertempatnya pada jam tangan dan bukan letaknya pada ukuran bayang matahari. Ukuran jam dinding atau jam tangan itu, bukan menunjukkan waktu tetapi adalah bagi mentukan masa.

Soalan:

Apakah perbezaan antara masa dan waktu?

Jawapan:

Pada pandangan kita orang awam, masa dan waktu itu, sememangnya tidak ada perbezaannya. Namun bagi orang mengenal Allah (makrifatullah), ianya suatu perbezaan yang ketara.

Waktu solat itu, bukannya pada jam atau bukan juga pada bayang matahari. Waktu solat itu, sesungguhnya ada atas diri kita masing-masing. Semasa saya kecil, saya teringat kepada seorang cikgu sekolah (ustaz), beliau ada bertanya kepada murid, “Di antara kamu semua, adakah yang tidak sembahyang subuh?”, katanya meneruskan cerita, jika kita tidak sembahyang subuh, di akhirat esok nanti kita tidak ada “kepala”. Jika tidak sembahyang zuhur, di akhirat esok nanti kita tidak ada “dada”, tidak sembahyang asar nanti di akhirat esok, kita tidak ada “tangan”, kiranya tidak sembahyang maghrib, esok nanti di akhirat, kita tidak ada “punggung” dan jika kita tidak sembahyang isyak, nanti di akhirat esok, kita tidak ada “kaki”.

Dalam hati kecil semasa itu tertanya-tanya, apakah sebabnya ustaz berpesan atau bercerita begitu? Apa kena-mengena waktu solat dengan tubuh jasad kita? Semasa itu, kita tidak mengerti akan kiasan cerita itu. Setelah dewasa dan setelah diberi pengajaran oleh ayahanda Hj. Mohd Yusof Che wook, baru saya faham dan mengerti bahawa sesungguhnya waktu solat itu, sebenar dan sesungguhnya ada bertempat dan ada terletak pada diri dan ada atas diri kita sendiri.

Jika difikir-fikirkan dengan akal yang lemah ini, ada juga benarnya. Kiranya ukuran waktu solat itu, letak atau duduknya pada jam dinding atau letaknya pada bayang matahari, bagaimana dengan ulama, wali-wali, para guru-guru makrifat dan bagaimana ahli pertapaan (semedi) zaman-zaman dahulu, yang bertapa di dalam gua, untuk mengira waktu solat. Jika sekiranya ukuran solat itu letak atau duduknya pada ukuran jam atau ukuran bayang matahari, apa akan terjadi bagi orang zaman dahulu yang bertapa (semedi) yang duduk dalam gua, di mana tidak ada jam tangan, tidak ada jam dinding dan tidak ada bayang matahari? Bagaimana untuk mereka mengerjakan solat? Ukuran bayang matahari itu, boleh diukur kiranya pada waktu siang, bagaimana kiranya waktu tidak ada matahari, seumpama hari malam atau seumpama hari mendung atau sewaktu kita berada di dalam gua gelap (bertapa)?

Masa boleh diukur melalui jam tangan atau masa boleh diukur melalui jam dinding (kiranya ada), sedangkan solat itu bukan mengikut masa. Adapun solat itu, adalah mengikut “waktu”, bukan mengikut masa. Persoalannya di sini, di manakah waktu? (waktu solat).

Di setiap kejadian Allah S.W.T itu, semestinya ada rahsia dan mesej di sebaliknya. Hanya kita sahaja yang tidak pandai untuk menterjemahkannya. Bagi yang berhati basirah dan yang berpandangan jauh (tasawuf), hatinya akan mendapat petunjuk untuk memahaminya. Dalam penetapan rakaat sembahyang, ianya bergantung kepada waktu. Kenapa waktu Zuhur 4 rakaat, Asar 4 rakaat, Maghrib 3 rakaat, Isyak 4 rakaat dan Subuh 2 rakaat? Rakaat sembahyang itu, sebenarnya tersembunyi suatu rahsia. Bukannya sahaja-sahaja Allah S.W.T menjadikan ianya 2, 3 dan 4 rakaat, melainkan ada tersembunyi pengertian di sebalik itu.

Zuhur adalah waktu pertama bermulanya perintah sembahyang. Kenapa perlunya waktu Zuhur itu, dijadikan perintah sembahyang yang pertama dan disusuli dengan Asar dan seterusnya sehingga ke waktu Subuh. Kenapa tidak Subuh dahulu atau Isyak dahulu dan kenapa didahulukan Zuhur mengatasi waktu-waktu lain?

Kenapa sembahyang itu diperintahkan mengikut masa jam (mengikut jam matahari)? Kenapa jika lewat atau terawal satu minit, ianya dikira tidak masuk waktu? Adakah sembahyang itu memerlukan perhitungan minit waktu (jam waktu). Jika diawalkan seminit atau dilewatkan seminit, telah dikira tidak sah sembahyang? Jika kita fikir-fikir melalui akal yang lemah ini, apakah Allah hanya ada mengikut masa jam? Sekiranya tidak ada masa jam, apakah kita tidak boleh menghadap Allah? Ukuran solat itu, apakah mengikut masa atau mengikut waktu? Persoalannya manakah waktu?

Sebagaimana tersembunyinya rahsia di sebalik kiasan maksud puasa, sebegitulah tersembunyinya rahsia di sebalik rakaat sembahyang. Allah S.W.T Yang Maha Bijaksakna, tidak membuat sesuatu itu dengan sia-sia, melainkan dipenuhi dengan kias dan ibarat yang dalam dan tinggi. Bagi mereka yang berpandangan dan yang bermata basirah, akan terpandanglah ketinggian maksud yang tersembunyi itu, manakala bagi yang buta mata hatinya, apa yang mereka nampak hanyalah perkhabaran barisan catatan tulisan dalam ayat-ayat yang kaku.

Apakah rahsia yang tersembunyi di sebalik rakaat waktu sembahyang? Oleh itu, marilah kita hayati satu-persatu maksud itu. Mula-mula sekali, mari kita lihat rahsia yang tersembunyi di sebalik kiasan rakaat pada waktu Subuh. Kenapa waktu Subuh rakaatnya hanya dua rakaat? Kenapa tidak tiga, tidak empat dan kenapa sembahyang Subuh mesti dua rakaat? Kenapakah dua rakaat itu dikeranakan waktu pagi (sekitar jam 6 hingga 7 pagi)? Jika tidak tersembunyinya sesuatu kiasan, masakan Allah S.W.T menetapkan waktu Subuh itu hanya dua rakaat? Apakah maksud dua rakaat itu? Di manakah kiasan Allah S.W.T atas ketetapan dua rakaat itu?

Bagi memahami rahsia kejadian Allah S.W.T atas segala sesuatu, hendaklah kita kiaskan atau bawanya kepada diri sendiri. Jika tidak dibawa kepada diri, tidaklah kita temui akan rahsia di sebalik kejadian. Apa juga bacaan atau apa juga cerita, ianya hendaklah dirujuk kepada diri kita sendiri, barulah berjumpa dengan rahsia di sebalik sesuatu. Baik dalam perkara membaca Al-Quran, menyelami cerita kisah-kisah nabi dan hadis, hendaklah kita rujuk kepada diri sendiri, barulah kita akan jumpa rahsia di sebaliknya. Persoalannya manakah yang dikatakan waktu?

AKAN BERSAMBUNG DI DALAM KITAB YANG AKAN DATANG, TUNGGU YA.

Advertisements

2 comments on “Hukum Qalbi Yang Ketiga Adalah “Takyin”

  1. Apa yg ditulis itu adalah tersimpul kepada kalimah لا حول ولا قوة إلا بالله. Satu kalimah yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai anak kunci syurga, yakni tiadalah daya kita untuk melakukan sesuatu tanpa upaya dan daya yang didatangkan dari Allah Taala, yakni pencipta kita. Maka jika fahami akan maksud kalimah demikian, adakah kita masih lagi terfikir untuk berbuat kemungkaran kepada Allahu Rabbul Jalil. Memang kerdil sifat kita di hadapan Allah Rabbul Jalil, dan memang kelu dan tidak berdaya untuk menyatakan sesuatu. Namun demikian dalam firman Allah Taala:

    Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Al-Jumu’ah :10).

    Nah, berdasarkan kepada ayat di atas, ianya bermaksud kita telah diberi pilihan oleh Allah dan pada masa yang sama diperintah oleh Allah agar senantiasa menjaga syariat yang telah diturunkan melalui Rasulullah SAW. Sesungguhnya Allah Taala lebih mengetahui akan apa yang sesuai dan tidak sesuai untuk kita, maka dengan sebab itu kita diturunkan syariat pula.

    Baiklah, bukan semua orang boleh menggapai tahap keilmuan maarifat yang muntahi ataupun tinggi. Maka bagaimana pula kita yang dinyatakan oleh Allah di hadapan para malaikatNya akan sebagai khalifahNya di mukabumi ini untuk berkehidupan.

    Apa yang saya telah diajarkan adalah “Hendaklah kamu mematuhi akan segala syariat Allah dan RasulNya dengan kemas, maka ketahuilah maarifat kepada Allah itu adalah dengan kehendak dan izinNya jua. Andaikata sekiranya kamu memiliki ilmu maarifat namun tidak disertakan akan zahir perbuatan kamu melalui syariatNya maka sesungguhnya kamu telah melakukan satu kesalahan yang amat besar kerana kamu telah menafikan akan sifat Muhammad”

    Sifat Muhammad bukanlah hanya sembahyang lima waktu, sehingga menunaikan haji. Ianya adalah menafi akan kehebatan, dan segala apa yang ada diri, dan meletakkan diri itu kepada sebenar-benar hamba yakni Abduhu. Hamba yang menerima akan perlakuan tuannya ke atasnya. Pada masa yang sama Muhammad juga diperintah untuk melaksanakan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang dilarang. Inilah yang dikatakan sebaik-baik makhluk oleh Allah Taala dalam surah At-Tin, satu makhluk yang diberikan pilihan oleh Allah namun ada batasnya.

    Kita lihat pada peristiwa Perang Badar, Rasulullah SAW bersungguh-sungguh berdoa pada Allah Taala sedangkan kedudukan baginda SAW ketika itu adalah Sayyidul Anbia Wal Mursalin dan juga Habibullah dan dimana pula Allah ketika itu, membiarkan sahaja kekasihNya meruntun-runtun berdoa akan kemenangan bagi tentera yang hanya berjumlah 313 orang untuk menentang tentera yang berganda-ganda jumlah dan lengkao dengan kelengkepan perang sedangkan tentera Rasulullah SAW ada yang berjalan kaki, ada yang hanya bersenjatakan pelepah tamar, dan ada yang cukup tua untuk menyertai perang. Maka Allah Taala telah memberi kemenangan kepada Rasulullah SAW.

    Berbalik pada perang Uhud, kita tewas pula. Maka persoalannya, apakah sahabat-sahabat Rasulullah SAW tidak maarifat kepada Allah, baiklah sejarah mencatatkan bahawa pasukan pemanah turun dan menyebabkan tentera Islam tewas. Maka di sini apakah pula message yang hendak disampaikan oleh Allah Taala pada kita umat yang terkemudian. Maka sesungguhnya itulah kesan sekiranya kita tidak mentaati Rasulullah SAW.

    Kesimpulannya seperti kata Imam Malik ra “Ilmu hakikat yang disertakan dengan syariat adalah batal, dan ilmu syariat yang disertakan ilmu hakikat adalah zindiq”.
    Maka dua kalimah syahadah ini hendaklah kita fahami erat2. Nafi isbat hendaklah kita fahami, dan letak duduknya kta hendak mengikuti apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

    Like

  2. TA’AIN Ertinya menyatakan waktu perlaksanaannya umpama nya waktu zohor,waktu asar,waktu sholat itu di laksanakan/di lakukan.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s