Mana Duduknya Guru Makrifat ini?

 

Setelah mendapat kebenaran daripada tuan yang empunya badan, makanya cerita ini dikarang sendiri oleh tuan yang empunya badan untuk dipaparkan kepada khalayak umum. Semoga mendapat komen dari kalangan pembaca blog makrifattokkenali.com.

Tuan-tuan yang dirahmati Allah. Di sini inginlah saya minta teguran, kritikan, pandangan, pendapat, ulasan, pendirian atau pegangan tuan-tuan tentang cerita yang akan saya sampaikan di bawah nanti. Ceritanya begini:

Pada suatu hari, ada seorang guru makrifat yang kononnya pada masa ini, bolehlah dikatakan amat terkenal dan termasyhur, telah melakukan perkara yang telah dianggap bertentangan atau berlawanan sama sekali dengan ajarannya. Guru makrifat itu, mengajar lain manakala perbuatannya telah dianggap lain, yakni bertentangan dengan ajarannya.

Ceritanya begini, pada suatu hari tanggal 02 Mac 2014, selepas guru makrifat tersebut selesai memberi ceramah di sebuah dewan di Sri Kembangan, Selangor, lebih kurang jam 7.30 petang, berangkatlah guru makrifat tersebut dari Raub, Pahang balik ke Kelantan melalui jalan Gua Musang. Di kesuyian malam yang agak suram, berlalulah guru makrifat itu keseorangan menyelusuri jalan sempit yang penuh berliku menuju ke arah Negeri Cik Siti Wan Kembang. Keretanya kelihatan sekali laju dan sekali perlahan membelah kesunyian malam dengan ditemani silaunya kereta yang bertentangan haluan.

Sunyinya malam, sesunguhnya sunyi lagi hati seorang guru makrifat, berkenderaan berseorangan membelah kedinginan malam, sambil menghitung-hitung berapa orangkah dan berapa keratkah orang yang akan hadir untuk mendengar ceramahnya esok. Maklumlah ceramah dari seorang guru makrifat itu, selalunya tidak mendapat perhatian orang, tidak seperti ulama lain di medan forum perdana yang melaut orangnya, tidak seperti ceramah orang makrifat. Namun, dalam hatinya selalu mengharap yang baik, moga-moga mendapat sambutan yang meriah.

Lebih kurang jam 10.00 lebih malam, setelah hampir 3 jam memandu secara berseorangan, guru makrifat tersebut terasa penat bercampur mengantuk, lalu beliau mengambil keputusan untuk berhenti rehat di sebuah restoran di Gua Musang, kedai makan ini bersebelahan dengan stesen minyak Shell. Niat pada awalnya, beliau bertujuan untuk singgah minum di sebuah warung yang berhampiran dengan stesen minyak Shell, yang jarak di antara Shell dengan kedai makan lebih kurang 90 kaki atau lebih kurang 3 atau 4 kali panjang bas.

Entah apa sebabnya, guru makrifat tersebut telah mengubah pendirian untuk tidak minum di restoran tersebut dan secara tiba-tiba telah mengubah niat dan mengambil keputusan untuk minum di warung yang berhampiran jalan raya. Warung ini, jaraknya hampir 120 kaki atau sekitar 4 atau 5 kali panjang bas, warung ini agak jauh sedikit dari stesen minyak Shell berbanding dengan warung yang mula-mula tadi.

Pada malam itu, kelihatan pelanggan yang berhenti makan agak lengang dan tidak berapa ramai berbanding hari-hari hujung minggu, berkemungkinan hari tersebut bukan jatuh pada hari minggu dan bukan jatuh pada musim perayaan atau musim cuti sekolah, itulah sebabnya kelihatan agak lengang.

Guru makrifat tersebut telah mengambil keputusan untuk singgah minum di kedai makan yang berhampiran jalan raya. Sambil minum teh o, guru makrifat tersebut terlihat periuk sup tulang yang sedang berasap (mendidih), serta bau aromanya sangat menyelerakan, lalu timbul keinginan pada hati guru makrifat tersebut untuk makan sup tulang. Lalu diordernya semanggkuk sup tulang. Sambil menunggu sup tulang disediakan, yang agak lama sedikit dihidangkan, beliau menghirup teh o panas, sempat juga melepaskan pandangan ke suasana sekeliling.

Sesampainya sup tulang, kelihatannya dimakan dengan agak gelojoh, mungkin kelaparan agaknya, maklumlah beliau baru teringat bahawa sebenarnya dari tengah hari beliau belum makan. Dikeranakan badan terlalu penat dan letih, kadang-kadang makanpun tak ingat. Tambahan pula sup itu agak sedap. Dikeranakan sedapnya sup tulang itu, belumpun habis semangkuk, diorder lagi separuh, diminta tambah sup tulang lagi separuh. Setelah selesai makan sup tulang dan sementara nak menghabiskan sisa air teh o, dengan tiba-tiba terdengar dan terlihat suatu letupan kuat, dan lanjutan dari letupan itu, terlihat api menjulang lebar yang sangat besar dan dahsyat.

Selepas letupan pertama, disusuli pula dengan letupan kedua, ketiga, keempat tong gas dan letupan deretan kereta yang di parking berhampiran warung, dan mana-mana kereta yang di parking sekitar lalun naik dari warung ke stesen minyak Shell. Didengar dan dilihat satu demi satu tong gas meletup dengan pantas, menjulang dan menjilat kenderaan sebuah demi sebuah menuju ke arah stesen minyak (Shell). Kebakaran atau letupan itu, bermula dari bawah meja burger, kerana di masa itu ada penjual burger sedang memasak burger.

Api sangat pantas merebak menuju ke stesen minyak (Shell), setelah guru makrifat tersebut melihat api sedang menuju ke stesen minyak (Shell), dengan tidak berfikir panjang, guru makrifat yang dikatakan mengajar kita supaya berserah diri kepada Allah dan yang mengajar kita jangan takut kepada selain Allah, iaitu jangan takut kepada api, jangan takut harimau, jangan takut peluru dan sebagainya itu, telah mengambil jalan lari lintang-pukang menyelamatkan diri dan kereta volvo.

Dengan tidak berfikir panjang, guru makrifat yang dikatakan hebat itu, telah lari meninggalkan meja makan, lari untuk menyelamatkan diri dan untuk menyelamatkan kereta jenis VOLVO. Lari guru makrifat itu, seumpama tak cukup bumi, jika boleh diumpakan lajunya kapal terbang jet, adalah didapati laju lagi larian guru makrifat tersebut menyelamatkan diri dan menyelamatkan kereta. Start enjin kereta lalu memecut laju bagi melarikan kereta dari terbakar dijilat api yang menyambar dahsyat. Dia mengajar kita supaya jangan takut kepada makhluk yakni jangan takut selain Allah, tetapi ternyata dia lari terlebih dahulu dari orang lain. Apakah hendak kita hukum atau hendak kita tafsirkan guru seperti itu? Cuba tuan-tuan beri komen. Tidakkah didapati guru makrifat itu “cakap tak serupa bikin?”.

Sebelum lari, guru makrifat itu sempat juga melihat orang yang lari dengan keadaan badan iaitu pakaian baju dan seluarnya terbakar, lari keluar dalam usaha menyelamatkan diri. Kalau tak salah yang sedang lari terbakar itu, adalah pemuda yang sedang memasak burger. Dalam keadaan kelam kabut itu, sempat juga guru makrifat itu, menyabarkan orang yang cedera terbakar dan ramai yang didapati menangis kesakitan dan menangis terkejut. Sebelum api itu sampai ke stesen minyak Shell dan sebelum Shell itu terbakar dan meletup, pada pendapat guru makrifat itu, adalah lebih baik beliau menyelamatkan diri. Tidakkah perbuatan guru makrifat tersebut telah “bercakap tidak seperti bikin”, cuba jawab?

Sesudah memindahkan kereta agak jauh dari stesen minyak, beliau datang semula ke tempat kebakaran tersebut, tetapi berada agak jauh sedikit dari stesen minyak. Kelihatan anggota bomba datang dengan cepat untuk menyelamatkan keadaan, kebetulan balai pomba terletak berhadapan dengan tempat kebakaran. Setelah didapati keadaan telah dapat ditangani, beliau (guru makrifat) itu memaklumkan kepada bomba bahawa di dalam semak sebelah Shell itu, ada orang terbakar. Dalam kegelapan malam dan setelah sambungan elektrik dipadamkan, suasana menjadi bertambah gelap, lalu dengan pantas anggota bomba menuju semak dan didapati ada seorang yang sedang meniarap menahan kesakitan dan empat lima orang lagi sedang menangis menahan kesakitan kesan terbakar.

Setelah diamati, didapati ada sebuah lori tangki yang sedang mengisi minyak di stesen minyak tersebut. Memandangkan stesen minyak itu berada di atas bukit iaitu tempat tinggi, didapati minyak yang sedang diisi itu, melimpah dan mengalir turun ke arah kedai yang sedang membakar burger. Sesampainya minyak itu di meja pembakaran burger, di situlah bermulanya letupan kuat dan menyambar tong gas dan deretan kereta. Kebakaran itu, boleh dianggap bernasib baik kerana minyak yang sedang diisi itu adalah minyak desel dan bukannya minyak petrol. Kiranya limpahan itu adalah minyak petrol, tidak tahulah apa nak kata sesudahnya. Guru makrifat itu, dulunya adalah bekas anggota polis, jadi dengan pengalaman yang ada itu, digunakan untuk mencari punca kebakaran.

Sebelum itu, pasukan bomba belum tahu punca kejadian. Dengan pengalaman guru makrifat yang dulunya adalah anggota polis, lalu guru makrifat tersebut menyarankan kepada bomba supaya jangan benarkan lori tangki tersebut dialih, kerana ini adalah bahan bukti. Lalu, saran guru makrifat itu diambil perhatian oleh ketua bomba. Seandainya lori tangki itu sempat dialihkan, maka hilanglah bukti punca kebakaran berlaku. Pada mulanya semua orang menyangka kebakaran itu berpunca dari warung. Setelah mendapat saranan dari guru makrifat tersebut, maka lori tangki itu, tidak dibenarkan dialih.

Petugas yang mengisi minyak ke dalam tangki bawah tanah stesen minyak cuba menafikan kebakaran itu berpunca dari limpahan minyak dari lori tangki. Namun akhirnya setelah disiasat, ketua bomba tidak membenarkan lori tangki itu dialih. Ramailah yang kehilangan kenderaan akibat kebakaran itu dan nasib baik tidak ada orang di dalam kereta semasa api sedang marak. Guru makrifat amat terkejut bimbang ada orang di dalam deretan kereta yang terbakar.

Pada kebiasaannya mengikut pengalaman kita, semasa berhenti rehat, suami turun minum, sedang anak atau isteri masih ada dalam kereta, ada yang tidur dalam kereta tidak mahu ikut ayahnya minum kerana mengantuk, setengahnya ada yang menyusukan bayi dalam kereta. Seribu kemungkinan yang bermain di kepala guru makrifat. Syukur kepada Allah tragedi malam itu, tidak ada sesiapa yang berada di dalam kereta yang terbakar. Namun keesokan harinya setelah membaca surat khabar, terdapat 4 orang yang cedera parah dan sedang kereteker (kritikal), maaf ejaan kereteker tak seperti bahasa inggeris tetapi seakan-akan bahasa inggeris orang Kelantan. Orang Kelantan bila bercakap bahasa inggeris, lidahnya agak pendek sikit berbanding orang Kuala Lumpur.

Dalam rentetan cerita di atas, saya ingin bertanya kepada tuan-tuan sekalian. Guru makrifat yang dikatakan terkenal itu, telah mengajar orang ramai supaya jangan takut, jangan lari kepada harimau, jangan takut kepada keris lembing dan jangan takut kepada hantu syaitan. Sekalian makhluk katanya tidak boleh memberi bekas, melainkan dengan izin Allah. Tahu-tahu beliau sendiri lari lintang-pukang menyelamatkan diri dari api yakni makhluk.

Jadi di sini, inginlah saya mendapat pandangan, teguran, saranan atau pendapat tuan-tuan sekalian tentang iktikad, pegangan atau duduknya “guru makrifat” tersebut. Dia mengajar orang supaya jangan takut kepada makhluk (api), tetapi tiba pada dirinya, dia lari menyelamatkan diri. Sekarang saya hendak tahu jawapan dari tuan-tuan sekalian, di mana hendak kita letak pendirian guru makrifat ini? Cakap tak serupa bikin!

Dari jawapan tuan-tuan itu, nantinya akan saya buat penilaian dan di situlah nanti akan dapat saya ukur untuk dibuat kesimpulan, setakat mana ilmu makrifat tuan-tuan. Sila kemukakan pendapat.

Harus diingat, saya tidak mengumpat mana-mana guru makrifat, cerita ini adalah cerita yang ditulis sendiri oleh tuan punya badan itu sendiri (guru makrifat itu sendiri) dan beliau telah bersetuju untuk dipaparkan kepada umum untuk melihat atau bertujuan untuk menyukat setakat mana kefahaman tuan-tuan terhadap makrifat!

Advertisements

2 comments on “Mana Duduknya Guru Makrifat ini?

  1. Apa yang boleh kata di sini setelah membaca kisah ini, dari kata jangan pada takut pada apa-apapun, kecuali takut Allah SWT, kerana Dia Maha Pencipta segalaNya, tanpa izinNya, tidak mungkin segala ciptaanNya mampu memberi bekas pada sesiapapun, guru makrifat bukan melarikan diri, tapi dalam diizinkan dia untuk selamatkan diri, dan kemudian membantu dan mencari cara untuk mengatasi apa yang telah terjadi, setiap pergerakan kita dan bernafas kita, zahir dan batin, semuanya milik Allah SWT, kita ini kosong, yang ada hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui segala. Allah SWT amat menyayangi hambaNya yang makin kenal diri, makin kenal makinlah dilindungi sepenuhnya, Allah SWT yang tentukan segalanya. Benarkah apa saya cuba katakan ini?

    Like

    • Nanti saya bagi komen berbentuk jawapan setelah semua orang jawab. Terima kasih anakanda atas jawapan yang baik. Tidakkah segala gerak itu, adalah gerak Allah? Tidak bergerak walau sekecil zarah, jika tidak diizinkan Allah. Jadi gerak laripun dari izin dan dari gerak Allah jua. Laripun dia dan diampun dia juga.

      Liked by 1 person

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s