Hati Yang Kosong Dari Dunia

Zun Nun mengisahkan, sebagai berikut: Selama tiga puluh tahun aku mengajak manusia untuk bertaubat, tetapi hanya seorang yang telah menghampiri Allah dengan segala ketaatan. Beginilah ceritanya: Pada suatu hari sewaktu aku berada di pintu sebuah masjid, seorang Raja bersama pengiringnya lalu di hadapanku. Kukatakan: Tidak ada yang lebih bodoh daripada si lemah yang bergelut melawan si kuat.
Raja bertanya kepadaku: Apakah makna kata-katamu itu?.Manusia adalah makhluk yang lemah, tetapi ia masih berusaha melawan Allah Yang Maha Kuat, jawabku.
Wajah raja itu berubah menjadi pucat. Ia bangun lalu meninggalkan tempat itu. Keesokan harinya ia datang menemuiku dan bertanya: Manakah jalan menuju Allah?. Ada jalan yang kecil dan ada jalan yang besar, yang manakah yang engkau sukai?. Jika engkau menghendaki jalan yang kecil, tinggalkanlah dunia dan hawa nafsu, setelah itu jangan berbuat dosa lagi. Jika engkau menghendaki jalan yang besar, tinggalkanlah segala

sesuatu kecuali Allah lalu kosongkanlah hatimu.”Demi Allah akan kupilih jalan yang besar”, jawab raja muda itu.
Esoknya ia memakai jubah yang dibuat dari bulu biri-biri dan mengambil jalan menghampirkan diri kepada Allah. Tidak berapa lama kemudian ia menjadi seorang manusia yang soleh.


Pengajaran: 1

Pengajaran yang dapat kita kutib dari cerita diatas bahawa dalam kita menjadi guru, belum tentu seorang guru itu dapat memberi faham kepada muridnya.
Menjadi seorang guru, belum tentu memiliki murid yang benar-benar mahu belajar. Lihatlah Zun Nun yang mengajar murid-muridnya selama tiga puluh tahun namun hanya ada seorang murid sahaja yang benar-benar taat dan patuh kepada ilmu yang diajarnya.
Tidak hairanlah guru-guru makrifat sekarang tidak mempunyai murid yang ramai. Sungguhpun memiliki murid yang ramai namun belum tentu mempunyai murid yang faham.Apa lagi guru yang mengajar ilmu makrifat pada kebiasaannya tidak memiliki murid yang ramai.
Lihatlah wali Allah Zun Nun sendiri yang mengajar selama tiga puluh tahun, hanya satu orang sahaja yang faham. Apa lagi guru makrifat seperti kita.


Pengajaran: 2

Mengajar atau belajar ilmu itu ada dua jalan, dua kaedah, dua cara dan ada dua pendekatan ilmu.Ada jalan yang kecil dan ada jalan yang besar. Jalan kecil disini bermaksuk jalan ilmu Syariat (jalan ilmu kulit) dan jalan besar disini bermaksud ilmu makrifat (jalan ilmu isi).
Jalan yang kecil (jalan ilmu syariat) adalah jalan dengan meninggalkanlah dunia dan meninggalkan hawa nafsu. Manakala jalan yang besar (jalan ilmu makrifat) adalah jalan yang meninggalkanlah segala sesuatu kecuali Allah (kosongkanlah hatimu).
Barang siapa yang memilih jalan yang kecil (ilmu syariat) mereka tidak akan sampai kepada jalan yang besar. Sebaliknya barang siapa yang memilih jalan yang besar (ilmu makrifat), bermakna kita sudah memilih kedua-dua jalan (Jalan kecil sudah termasuk dalam jalan yang besar). Kitalah yang menentukan jalan mana yang hendak kita pilih.

Zun Nun Setelah Bebas Dari Penjara

Ketika keluar dari penjara itu, Zun Nun tiba-tiba tergelincir dan dahinya terluka. Diriwayatkan bahawa lukanya itu banyak mengeluarkan darah tetapi tidak setitis pun yang mengotori muka, rambut mahupun pakaiannya. Setiap titik darah yang terjatuh ke tanah, akan hilang tanpa meninggalkan bekas dengan izin Allah.
Kemudian Zun Nun dibawa menghadap khalifah. Ia dimestikan menjawab segala tuduhan yang dikenakan pada dirinya. Maka dijelaskannya tentang ajaran Islam yang sebenar sehingga Mutawakkil menangis tersedu-sedu manakala menteri-menterinya kagum mendengar kefasihan Zun Nun bercakap. Khalifah menganugerahkannya dengan kehormatan yang besar.


Pengajaran:

Pengajaran yang dapat kita kutib: Dalam kita menjadi seorang guru agama teruatama guru ilmu makrifat, kita tidak terlepas dari difitnah dan dituduh sesat sebagaimana yang berlaku kepada ZunNun. Biarpun kita tahu Zun Nun itu wali Allah yang karomahnya tinggi tetapi juga tidak terlepas dari di fitnah. Namun pengajaran yang dapat kita kutib dari cerita diatas bahawa kebenaran akan menyebelahi orang-orang yang benar. Mungkin salah atau sesat pada hari ini, lama kelamaan ilmu yang baik itu akan terbukti juga akhirnya.
Mungkin hari ini orang tidak terima ilmu ini, percayalah suatu hari kelak ilmu inilah yang dicari-cari dan yang menjadi rebutan. Lihatlah para-para wali dulu, rata-rata mereka telah mendapat kejian, cercaan dan menjadi cemuhan disuatu ketika mulanya. Ternyata sekarang ini, wali yang kita keji suatu ketika dulu telah menjadi bahan rujukan oleh seluruh umat islam. Inilah yang hendak dikhabarkan melalui kisah Zun Nun ini.